Photobucket

17 May 2013

Pengalaman Cuti Semester 2011

Assalamu'alaikum dan salam sayang buat semua sahabat-sahabat yang dikasihi. Alhamdulillah,syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan sehingga ke saat ni untuk terus bernafas dengan nikmat kurniaan yang Esa. Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah...hari ini sudah 22 hari dan merupakan malam ke 23 kita, umat Islam berpuasa. Alhamdulillah..Allah masih lagi panjangkan umur hingga ke saat ini dan diberi kesempatan merasai Ramadhan Kareem pada tahun ini...(Allahu Akram)...

Sudah lama terbiar blog ini. Walaupun ana sedang bercuti, tapi tidak berkesempatan untuk update entry terbaru. cuti semester yang hampir 4 bulan bakal berakhir tidak lama lagi...Ya Allah, begitu cepat rasanya masa berlalu meninggalkan kita..tapi alhamdulillah,cuti ini tidak terlalu kosong tanpa sebarang aktiviti. Bermula dengan Program Minggu Destini Siswa (PMDS), kemudian Seminar Memperkasakan Generasi Muda (SMGM), Baktisiswa ke Kemboja dan yang terakhir Lambaian Menara Gading (LAMEGA)... semuanya adalah antara program yang ana terlibat secara langsung dan juga tidak langsung. Alhamdulillah, banyak pengalaman membina yang ana dapat dari setiap program.

Pengalaman yang paling banyak ana dapat adalah semasa mengikuti program Baktisiswa Masyarakat Islam di Kemboja. Pengalaman pertama berpuasa di rantauan, jauh daripada keluarga sudah pernah dirasai sebelum ini cuma kali ini sedikit berbeza kerana pertama kali berpuasa dengan masyarakat Islam di Kemboja. Di sana, susah kita nak jumpa umat Islam di bandar besar seperti Phnom Phenh kerana majoriti masyarakat di Kemboja bukan beragama Islam. Hanya lebih kurang 3 peratus daripada 14 Juta penduduk di sana yang beragama Islam dan kebanyakkan mereka tinggal di kampung-kampung kecil.

Setibanya di Lapangan Terbang Phnom Penh, ketibaan kami disambut oleh pengarah Eazy Korban iaitu Ustaz Azhar bersama dengan pemandu pelancong iaitu En Mohd Rosdi. Setelah sampai, kami dibawa melawat ke sekitar Phnom Penh dan setelah itu chek in di hotel New york,Kemboja. Aktiviti diteruskan dengan taklimat program oleh Penasihat Program, Kapten Hj Ahmad bin Ismail dan seterusnya kami dibawa bersiar-siar di sekitar phnom penh dan juga dapat menikmati makan malam di tepi sungai mekong.

Pada hari kedua pula, kami dibawa oleh En Rosdi untuk melawat tempat bersejarah di kemboja iaitu Museum Toul Sleng. Museum ini merupakan bekas penjara di zaman Khmer Rouge yang merupakan pemerintah paling zalim ketika itu kerana banyak membunuh nyawa-nyawa orang yang tidak berdosa dengan kejam sekali. Apabila melihat gambar-gambar di museum tersebut ramai di antara mahasiswa menitiskan air mata kerana melihat kekejaman yang berlaku terhadap manusia yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak. Berada di museum tersebut menginsafkan kami para peserta dan kami berasa beruntung,bertuah dan bersyukur dapat dilahirkan dibumi Malaysia yang aman damai .



Setelah itu , kami melawat ke Killing Field iaitu tempat mangsa-mangsa di Zaman Khmer Rouge dibunuh. Disini, masih terdapat sisa-sisa peninggalan rangka-rangka manusia yang tidak berdosa dibunuh dengan zalim sekali. Apabila kami pergi melawat satu tempat ke satu tempat yang lain di killing field, masih kelihatan sisa-sisa serpihan baju-baju dan tulang-tulang manusia bersepah disana-sini. Kami juga dapat melihat tontonan semula video bagaimana manusia yang tidak berdosa diperlakukan tanpa wujudnya rasa sifat kemanusiaan.

Pada hari ketiga di kemboja, pada pukul 5.30 pagi waktu kemboja, kami melakukan aktiviti bersama penduduk di sekitar Phnom Penh melakukan senaman aerobik di hadapan istana raja dan juga bersebelahan dengan sungai mekong. Kelihatan ramai penduduk kemboja melakukan senaman pagi yang terdiri daripada bermacam-macam kumpulan senamrobik. Timbul kesedaran di hati kami bahawa penduduk di sini sebenarnya lebih mementingkan kesihatan berbanding masyarakat kita di Malaysia. Setelah selesai melakukan aktiviti, kami diberi kesempatan untuk menaiki Cyclo iaitu sejenis kenderaan seperti beca di Malaysia. Sebanyak 50 buah Cyclo tersedia menanti para peserta dan paling mengujakan kami apabila kami berlumba sesama sendiri menaiki Cyclo pulang ke semula ke hotel.

Setelah tibanya di hotel, kami bersarapan pagi dan bersiap-siap melakukan program baktisiswa di kampung Oosmait, Wilayah kampung Chenang. Perjalanan dari hotel ke Kampung Oosmait memakan masa selama 4 jam. Kami tiba di kampung Oosmait pada pukul 2.00 petang waktu kemboja. Setibanya di kampung itu, kelihatan dari jauh beberapa buah khemah didirikan bagi menyambut ketibaan kami dan juga ramai penduduk kampung turut berbaris bagi menyambut kedatangan kami. Kami sebagai peserta program berasa amat terharu kerana layanan penduduk Kampung Oosmait begitu baik sekali terhadap kami. Majlis diteruskan dengan perasmian program baktisiswa masyarakat kemboja yang telah disempurnakan oleh Menteri Kemboja.

Setelah majlis perasmian selesai, kami memulakan misi pertama kami iaitu mengajar kanak-kanak penduduk kampung osmait membaca, mengeja dan sebagainya. Sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran diadakan kami dapat merumuskan bahawa kanak-kanak masyarakat islam Kampung Oosmait amat berminat untuk belajar sesuatu dan mudah memahami sesuatu yang diajarkan.Walaupun kami berdepan dengan cabaran iaitu cabaran pertuturan bahasa tetapi allhamdulillah dengan bantuan translater iatitu saudari Halimah segala program pembelajaran dan misi kami tercapai.

Aktiviti Sukaneka bersama penduduk kampung berlangsung setelah program pembelajaran diadakan. Kanak-kanak kampung Oosmait begitu seronok dan teruja mencuba aktiviti yang kami jalankan. Beberapa acara seperti Bowling Padang, membawa Bola Ping Pong dalam sudu, Pecahkan Belon ,dan Bola Beracun diadakan. Keriangan terpancar diwajah mereka semua. Timbul kesedaran dihati kami sebagai peserta bahawa bertapa bertuahnya kanak-kanak Malaysia yang didedahkan pelbagai permainan dan barangan yang berjenama jika dibandingkan dengan masyarakat kemboja terutamanya penduduk islam di kampong Oosmait.

Setelah selesai aktiviti sukaneka, kami mengambil kesempatan membantu penduduk Kampong Osmait menyediakan juadah makan malam. Pengalaman yang paling bermakna bagi kami semua kerana berhadapan dengan penduduk kampong yang tidak memahami bahasa kami dan kami juga tidak memahami bahasa mereka umpama ayam dengan itik bertutur. Mujurlah ada beberapa orang penduduk kampong yang pandai berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia dengan kami dan kami jadikan mereka sebagai rujukan sekiranya tidak memahami bahasa mereka. Selain itu , pengalaman yang paling mencabar bagi kami apabila memasak menggunakan dapur kayu. Kesudahannya, ramai diantara para peserta mengalirkan air mata disebabkan asap kayu.

Setelah selesai menyediakan juadah, giliran kami sebagai peserta baktisiswa melayan penduduk kampong makan malam. Terpancar kegembiraan diwajah mereka apabila dapat makan makanan yang sedap-sedap. Menurut salah seorang penduduk kampong yang hanya dikenali sebagai Fatimah, mereka dapat makan makanan yang sedap-sedap sewaktu orang Malaysia datang ke Kampung mereka sahaja dan juga sewaktu Hari Raya Aidiladha sahaja. Sekiranya hari biasa, kami dimaklumkan kebanyakkan penduduk kampong ini dapat menikmati makanan nasi sehari sekali bersama lauk sebiji telur yang dikongsi oleh beberapa ahli keluarga yang lain. Sebak dan pilu itulah yang dapat digambarkan oleh kami semua peserta baktisiswa kemboja. Didalam hati kami semua amat berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan semoga nasib orang islam di kemboja dapat dibela oleh kita rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat prihatin. Pada hari itu juga kami dapat menunaikan solat terawih sempena menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak dengan penuh rahmat dan keampunan.

Pada keesokan harinya, kami melawat rumah penduduk-penduduk kampong Oosmait. Apa yang dapat kami simpulkan bahawa mereka sewajarnya mendapat pembelaan terhadap masyarakat islam yang lain. Kehidupan mereka begitu daif sekali jika dibandingkan dengan orang miskin di Malaysia. Berbumbungkan atap nipah sahaja dan tiada bilik air mahupun bilik tidur dan juga dapur mereka boleh meneruskan kehidupan mereka dengan penuh tabah dan sabar. Kami sebagai peserta berasa insaf dan amat-amat bersyukur kerana dilahirkan sebagai warganegara Malaysia . Setelah itu, kami melawat madrasah-madrasah disekitar kampung Oosmait dan memberi sumbangan sedikit kepada mereka.

Pada pukul 0930 pagi waktu kemboja , majlis penutupan Program Baktisiswa telah berlangsung dengan jayanya.Majlis ini telah ditutup oleh YB.Timbalan Menteri Pelajaran Kemboja. Di dalam majlis ini, pihak UiTM yang diketuai oleh Kapten Hj Ahmad telah menyampaikan sumbangan dan derma ikhlas dari pihak UiTM dan orang ramai terhadap 70 buah keluarga di kampung Oosmait ini. Sumbangan yang diterima penduduk kampung meramgkumi pakaian lelaki dan perempuan,pakaian kanak-kanak, sabun,shampoo,ubat gigi dan sebagainya.Disamping itu juga sumbangan yang berbentuk duit kepada masjid,madrasah dan juga berbuka puasa untuk penduduk kampung telah disampaikan oleh wakil program Baktisiswa iaitu Kapten Hj Ahmad kepada Ketua Kampung Oosmait.

Selain itu juga, sekolah disana turut menerima peralatan-peralatan pengajaran dan juga pembelajaran dari Malaysia. Majlis penutup tamat tepat jam 1200 waktu kemboja. Diakhir majlis penutup ini kami bermaaf-maafan bersama penduduk kampung Oosmait. Apa yang dapat disimpulkan sewaktu majlis ini berakhir,walaupun kesukaran pertuturan dan komunikasi diantara kami dengan penduduk kampung Oosmait tetapi program seumpama ini meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap kami semua pesarta program baktisiswa kemboja. Ramai diantara kami dan juga penduduk kampung menitiskan air mata. Walaupun berlainan Negara tetapi ikatan ukhwah dan erat yang diajar oleh agama islamlah yang menyatukan kami dan penduduk kampung Oosmait disini. Tali persaudaraan sesama islam mengalir ditubuh kami dan kami berazam akan memastikan program seumpama ini diteruskan oleh generasi yang akan datang.

Selesai majlis penutupan itu kami bertolak pulang semula ke Phnom Penh. Misi kami yang seterusnya adalah menyampaikan sumbangan kepada Masjid di KM8.Kami tiba di kampong KM8 pada pukul 1700 petang waktu kemboja dan aktiviti kami pada petang itu adalah beramah mesra dengan penduduk kampong KM8 seterusnya melawat kawasan disekitar Kampung KM8. Kami juga diberi kesempatan untuk berbuka puasa bersama masyarakat Kampung KM8 dan menunaikan solat sunat terawih di masjid yang tersergam indah di KM8.

Pada hari yang berikutnya, kami menaiki bot mengelilingi Sungai Mekong selama 1jam dan juga dapat melawat kampung nelayan. Setelah itu, kami dibawa mengunjungi Russian Market yang terkenal dengan kraftangan masyarakat kemboja. Kami pulang ke KM8 untuk berbuka puasa dan juga menunaikan solat terawih. Setelah itu,kami pulang semula ke hotel dan telah diberi beberapa taklimat oleh Kapten Hj Ahmad dan mengemas-gemas barang untuk pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.

Pada jam 0500 waktu Malaysia kami bertolak ke kemboja Airport. Penerbangan pulang kami dijangka pada jam 0830 pagi tetapi malangnya penerbangan kami ditunda pada jam 0945 pagi. Kami tiba di LCCT Subang Jaya Malaysia pada jam 1200 tengahari dan setelah itu kami terus pulang ke UITM Shah Alam. Jauh disudut hati dan sanubari kami sebagai peserta program ingin berbakti sekali lagi ke kemboja jika diberi peluang yang sama.Pengalaman berada di Kemboja merupakan pengalaman yang tidak ternilai harganya bagi kami dan banyak pengajaran yang kami dapat melalui program Baktisiswa ini.


*Selepas 2 tahun, baru dapat publish post ni :)

No comments:

:: Halwa Telinga ::