“Ya Allah, berikanlah daku kekuatan dalam menghadapi ujian-MU ini. Engkau tak akan uji hamba-Mu melainkan dia mampu hadapinya. Sabarlah hati. Mungkin inilah kesudahan bagi sebuah kebahagiaan yang pernah aku kecapi walaupun hanya seketika,”bisik hati kecilku sambil titisan jernih mengalir perlahan di tubir mataku yang redup. Hanya Allah saja yang tahu betapa hancurnya hati ini.
“Betul ke Rin nak terima tawaran sambung belajar tu? Dah fikir masak-masak?” soal teman baikku, Fina yang sentiasa memberiku sokongan setelah aku memberitahu keputusan untuk menyambung pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi setelah memperoleh sarjana dalam bidang Matematik di salah sebuah universiti tempatan setahun yang lalu. Aku tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya aku hanya sekadar menganggukkan kepala tanda mengiyakannya.
Memang itu merupakan cita-cita dan impianku selama ini untuk melanjutkan pelajaran hingga ke luar Negara dalam bidang yang aku minati dan sekarang peluang tersebut sudah berada di hadapan mata. Alhamdulillah, aku dapat menamatkan pengajianku semasa di peringkat sarjana dengan cemerlang dan sekaligus membolehkan aku memohon tajaan untuk menyambung pengajianku di peringkat falsafah di luar Negara. Selepas 6 bulan, keputusan permohonan tersebut telah keluar dan alhamdulillah, aku berjaya mendapat tajaan daripada pihak MARA sepanjang pengajianku di New Zealand nanti. Namun, kegembiraan tersebut hanya disambut dengan linangan air mata kesedihan setelah ditinggalkan oleh insan yang aku sayangi. Hancur luluh hati ini tatkala kesetiaanku dipermainkan.
“ Abang, kenapa buat sayang macam ni? Sanggup abang tinggalkan sayang sebab perempuan lain. Apa salah sayang?” rintih ku keseorangan di dalam kamarku yang dahulunya ceria dengan sinar kebahagiaan tetapi kini hanya dibasahi dengan titisan jernih air mataku.
“Sabarlah Rin. Tak mungkin Hasrul macam tu. Aku kenal dia dan tak mungkin secepat tu dia boleh berubah. Buat sementara ni, kau tinggallah dengan aku dulu. Suami aku pun outstation minggu ni. Aku tinggal seorang je. Lagipun aku risau tengok keadaan kau sekarang. Kau kena banyak berehat dan jaga kesihatan tu. Jangan banyak sangat berfikir.”pujuk teman baikku Fina.
Rafina Eleesya atau Fina merupakan teman baikku sejak di sekolah menengah lagi. Dialah satu-satunya temanku yang paling aku percaya. Walaupun melanjutkan pengajian di peringkat universiti di tempat yang berbeza, kami tidak pernah putus hubungan. Kalau ada masalah, padanya aku luah dan kongsi susah senang kehidupan kerana aku hidup sebatang kara. Ibu bapaku telah lama meninggalkan aku setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa mereka berdua. Namun aku redha atas apa yang terjadi. Selepas kejadian tersebut, aku tinggal bersama nenekku dan nenekku juga telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun kemudian kerana sakit tua.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment