Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi dapat menghirup udara pinjamanNya..selawat dan salam buat Rasulullah junjungan kita.
Cinta?? Rasanya sahabat-sahabat semua tahu apa itu cinta. Entri ana sebelum ni pun ada menjelaskan tentang cinta, cuma kali ini ana ingin berkongsi sedikit tentang cinta kerana Allah.
Apa yang dimaksudkan seseorang mencintai kerana Allah? Pengertian cinta kerana Allah adalah mencintai seseorang lantaran ketaatannya kepada Allah atau cinta di jalan Allah.
Memang harus dibezakan mana yang mencintai pasangannya kerana Allah Azzawajalla dan mana yang sekadar cinta kerana tertarik terhadap pasangannya semata. Keduanya jelas berbeza. Hal ini dapat dilihat dari motif dasar dia mencintai pasangannya.
Apakah dasarnya adalah agama dan kesolehannya atau bukan? Biasanya seseorang mencintai pasangannya kerana memang dia suka atau tertarik pada pasangannya itu selain kerana kecantikan dan ketampanan atau hal lain yang menarik baginya. Dan tidak didasarkan cinta kerana Allah.
Oleh kerana itu sebaiknya kita semua kembali melihat diri kita masing-masing. Apakah sifat cinta kerana Allah Azzawajalla telah ada dalam diri kita atau belum? Kalau sudah, bersyukurlah dan mintalah kepada Allah agar tetap istiqamah, dan kalau belum marilah kita perbaiki iman dan Islam kita sehingga tumbuh sifat tersebut dalam diri kita.
Dan perlu kita ketahui, kalau seandainya seseorang itu benar-benar cinta kerana Allah, maka pasti dia akan berusaha sesuai dengan syariat agama Allah, dan tidak akan melanggar ketentuan dan larangan-larangan Allah.
Anas bin Malik berkata, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
"Seseorang tidak akan pernah mendapatkan manisnya iman sehingga dia mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah; sehingga dia dilemparkan ke dalam api lebih dia sukai daripada kembali kepada kekufuran setelah Allah selamatkan darinya; dan sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya."
Mungkin apa yang ana coretkan lebih kepada perasaan terhadap pasangan namun rasa cinta itu juga buat insan di sekeliling kita; ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat. Jadikan rasa cinta kita buat semua insan yang berada di samping kita adalah cinta kerana Allah.
Hal ini demikian kerana alangkah bertuahnya jika cinta kita benar, betul dan tepat-kita akan sentiasa bersama kebenaran dan akan bersama dengan cinta itu di syurga nanti. Sebaliknya, alangkah malangnya jika kita salah meletakkan cinta, kita akan bersamanya di neraka! Cinta kerana Allah itu membawa ke syurga!
No comments:
Post a Comment