Photobucket
Showing posts with label :: Cerpen ::. Show all posts
Showing posts with label :: Cerpen ::. Show all posts

25 April 2011

1:Kisah Kasih

“Ya Allah, berikanlah daku kekuatan dalam menghadapi ujian-MU ini. Engkau tak akan uji hamba-Mu melainkan dia mampu hadapinya. Sabarlah hati. Mungkin inilah kesudahan bagi sebuah kebahagiaan yang pernah aku kecapi walaupun hanya seketika,”bisik hati kecilku sambil titisan jernih mengalir perlahan di tubir mataku yang redup. Hanya Allah saja yang tahu betapa hancurnya hati ini.
“Betul ke Rin nak terima tawaran sambung belajar tu? Dah fikir masak-masak?” soal teman baikku, Fina yang sentiasa memberiku sokongan setelah aku memberitahu keputusan untuk menyambung pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi setelah memperoleh sarjana dalam bidang Matematik di salah sebuah universiti tempatan setahun yang lalu. Aku tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya aku hanya sekadar menganggukkan kepala tanda mengiyakannya.
Memang itu merupakan cita-cita dan impianku selama ini untuk melanjutkan pelajaran hingga ke luar Negara dalam bidang yang aku minati dan sekarang peluang tersebut sudah berada di hadapan mata. Alhamdulillah, aku dapat menamatkan pengajianku semasa di peringkat sarjana dengan cemerlang dan sekaligus membolehkan aku memohon tajaan untuk menyambung pengajianku di peringkat falsafah di luar Negara. Selepas 6 bulan, keputusan permohonan tersebut telah keluar dan alhamdulillah, aku berjaya mendapat tajaan daripada pihak MARA sepanjang pengajianku di New Zealand nanti. Namun, kegembiraan tersebut hanya disambut dengan linangan air mata kesedihan setelah ditinggalkan oleh insan yang aku sayangi. Hancur luluh hati ini tatkala kesetiaanku dipermainkan.
“ Abang, kenapa buat sayang macam ni? Sanggup abang tinggalkan sayang sebab perempuan lain. Apa salah sayang?” rintih ku  keseorangan di dalam kamarku yang dahulunya ceria dengan sinar kebahagiaan tetapi kini hanya dibasahi dengan titisan jernih air mataku.
“Sabarlah Rin. Tak mungkin Hasrul macam tu. Aku kenal dia dan tak mungkin secepat tu dia boleh berubah. Buat sementara ni, kau tinggallah dengan aku dulu. Suami aku pun outstation minggu ni. Aku tinggal seorang je. Lagipun aku risau tengok keadaan kau sekarang. Kau kena banyak berehat dan jaga kesihatan tu. Jangan banyak sangat berfikir.”pujuk teman baikku Fina.
Rafina Eleesya atau Fina merupakan teman baikku sejak di sekolah menengah lagi. Dialah satu-satunya temanku yang paling aku percaya. Walaupun melanjutkan pengajian di peringkat universiti di tempat yang berbeza, kami tidak pernah putus hubungan. Kalau ada masalah, padanya aku luah dan kongsi susah senang kehidupan kerana aku hidup sebatang kara. Ibu bapaku telah lama meninggalkan aku setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa mereka berdua. Namun aku redha atas apa yang terjadi. Selepas kejadian tersebut, aku tinggal bersama nenekku dan nenekku juga telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun kemudian kerana sakit tua.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

20 April 2011

Hati Seorang Isteri... ^_^


Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…" An-Nisa : 1.

Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. 

Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya.

Rasulullah pernah bersabda, " Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu."




"Umi… Abu ingat abi."

"Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu."

Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah.

Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta.
" Ayang nak letak nama apa?" 

" Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah." 

" Sumayyah?" 

" Abang suka?" 

" Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah."

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

" Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?" Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya. 

" Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak."

" Bagaimana pula dengan rotan?" 

" Jika layananku tidak memuaskan hatinya. Aku rela dipukulnya." 

" Adakah dia sering memukulmu?" 

" Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya." 



" Kamu memang layak masuk syurga," bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan. 

Kakak,Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung.Abang

Abang,Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu. Kakak.

Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

" Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari." 

" Pergilah bang. Orang dah jemput." 

" Macam mana anak-anak?" 

" Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah." 

" Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah 
abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?" 

" Emmm…."

Abang,Bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu.Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan.

Allah pernah berfirman, "Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. " Ibrahim : 7.

Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, " Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah." Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia.

" Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik." 

" Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?" 

" Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik." 

" Nanti kakak telefon abang Muhammad."

Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah.

Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit…

" Kakak… Nenek dah meninggal." 

" Innalillahiwainnailahirajiun."

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad. 

" DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali."

" Kak Hanan." 

" Ya saya. Siapa di sana?"

" Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad." 

" Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?" 

" Em… Akak… Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu," talian sunyi sebentar. 

" Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua." 

" Ustaz tahu hal ni?" Hanan cuba menahan getar di hatinya. 

" Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa." Diam lagi… 

" Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak… Pinanglah dia untuk saya."

Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi…

Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi.

Allah pernah berfirman, 

" Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya," Al-Baqarah : 286.

Hanan juga tahu firman Tuhan, " Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar." Tapi…

Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi.

Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi…Kan ketaatan itu juga satu ibadah?

"Kenapa lain macam saja ayang sekarang? Ada masalah ke?" Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.

"Tak adalah bang. Ayang letih saja," kata Hanan 
menahan sebak di dada. 

"Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?" Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya.

"Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita." 

" Abang…" Hanan makin sebak. 

Tiba-tiba… 
" Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah." 

" Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main saja." 

" Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi." 

Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya…

"Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…" At-Taubah : 24.

" Abang…" Hanan bersuara satu malam. 

" Yang…" 

" Baru-baru ni, pelajar abang telefon." 

" Ya." 

" Nona namanya," Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu. 

" Ya." 

" Katanya…" Diam seketika. 

" Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang." 

" Jadi?" Begitu tenang lelaki ini. 

" Kahwinilah dia," lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya. 

" Sebab inikah kamu berubah isteriku?" Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya. 

" Kalau ayang suruh abang kahwin, Kenapa menangis?" Diam… 

" Ayang tak sanggup?" Diam lagi… 

" Kalau tak sanggup, Kenapa suruh abang kahwin?" Lidah Hanan kelu. 

" Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada 
celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.

Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada.

" Abang… Takut rasanya kali ini." 

" Kenapa? Kan abang ada." 

" Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk." 

" InsyaAllah, segalanya akan selamat." 

" Abang…" 

" Ya." 

" Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…" 

" Tak akan ada apa-apa yang berlaku." 

" Kalau-kalau…" 

" Semua akan selamat," pintas Muhammad. 

" Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai 
pengganti ayang."

Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang.

"Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu." 

"Selamatkan keduanya," Muhammad seolah memberi arahan.

Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir....^_^



18 January 2011

Mata Siapa Yang Tidak Pernah Menangis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk " Jalan-jalan Syurga " dan beberapa karya Islamik yang lain.


Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata " Ayah! Saya dah bersedia." Ayahnya terkejut dan berkata, " Bersedia untuk apa?". "Ayah, bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah". "Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat." "Ayah, bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun?" Ayahnya menambah, "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini." Dengan merintih anaknya merayu,"Benarkan saya pergi ayah?" Ayahnya berasa agak ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah sentiasa bersama-sama kamu!" "Terima kasih ayah." Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanay tinggal satu sahaja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana ke mari mencari sesiapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuknya pula pintu rumah itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya, pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu,saya hanya ingin menyatakan yang Allah amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah." Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. " Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu,"lafaz perempuan tersebut dalam nada yang lembut. 

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya, " Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu?" Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. " Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tidak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun yang lalu dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini."

Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
" Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi."


" Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu." " Seumur hidup saya, belum pernah saya melihat anak yang comel itu. senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat." "Makcik, maaf saya mengganggu,saya hanya ingin menyatakan yang Allah amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. " Itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar."


" Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya, kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ke tempat asalnya. Aku tak perlukan itu lagi."


" Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu,Allah. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan selama-lamanya di dalam neraka."


Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir. ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar dan terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.


Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugaerah yang sekarang berada dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah Allah kepada makhlukNya yang penyayang.

26 November 2010

Nafas Cinta Insyirah

Pandangannya sedikit pun tidak beralih pada hamparan laut di hadapan. Matanya terus memandang dengan jiwa yang kosong. Kedengaran desiran ombak kecil yang menghempaskan diri ke pantai sambil bertemankan keriuhan suara tetamu-tetamu sang laut. Bibirnya menguntum senyuman kecil tatkala terpandang anak lelaki kecil yang sibuk mengutip anak-anak siput di sekitar pantai.

Berdiri di sebelahnya seorang lelaki yang mengekori setiap langkah anak kecil di hadapannya. Mungkinkah ayahnya? Tapi masakan terlalu muda? Mungkin juga abang kepada anak comel itu? Mungkin...
Ah, tidak semena-mena tangisan membasahi wajah Cahaya. Lantas pandangan dijatuhkan pada perutnya yang ditutupi baju labuh, kian membesar setiap waktu. Tidak berayah, tiada siapa, kecuali Cahaya yang putus asa. Airmatanya mengalir deras, jantungnya berdegup

22 November 2010

" Couple Islamic "


Naim pelajar tingkatan 5 di sebuah Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan mempunyai politik yang agak stabil di sekolah apatah lagi dengan thiqahnya yang tinggi. Apabila ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak, dia akan ke hadapan. Sama ada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan Al-Mathurat. Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna, jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan perempuan, sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya.
Semua orang menghormatinya, baik yang junior mahupun senior, baik yang laki-laki mahupun perempuan. Jika ada senior yang tengah membuli junior, jika Naim ada di tempat kejadian, proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan. Inilah ‘kuasa’ Naim di sekolahnya.
Dia menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya. Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh kehidupan yang paling sempurna. Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya, dia betul-betul menjaga akhlaknya. Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah. Niatnya hanya satu,

03 September 2010

Salahkah Bila Berubah?

Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk tendang batang pohon, melepaskan amarahnya. Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...

“Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni.”

“Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau peduli apa? Kubur masing-masing.”

“Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong cover.”

Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal. Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala. Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat, mengisyaratkannya supaya ke tepi. Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, “Bangun Subuh!” Aliuddin yang tersentak bangun terduduk dengan matanya terbeliak bulat. Melihatkan wajah takut teman sebiliknya itu, Hakim ketawa mengekek.

“Nasib baik kaki aku sakit. Kalau tak, kau sarapan kaki aku pagi ni.”

Ketuk ketampi tiga ratus kali dan dirotan di kaki. Denda yang menyebabkan kakinya sakit yang amat. Denda atas perbuatan memancitkan tiga tayar kereta guru yang menyagat rambutnya. Ini bukanlah kali pertama dia didenda dan mungkin bukan yang terakhir. Dia cuba bangun dari katil tapi kakinya terasa perit untuk berdiri. Malah hendak duduk kembali pun dia tak mampu. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

“Kau tak apa-apa ke?” Izzat bertanya.

“Aku nampak macam tak ada apa-apa ke?” Aliuddin bersuara garang.

Hakim cuba untuk membantu memapah tapi ditangkis keras oleh Aliuddin. Dia menguatkan diri untuk melangkah padahal dalam hati menjerit menahan sakit. Memang Aliuddin tidaklah sebaik nama yang diberi, namun cara pengurusan sekolah mengatasi pelajar bermasalah hanya menambahkan lagi dendam di dada. Pernahkah guru yang memberi denda itu merasai betapa sakitnya kaki setelah ketuk ketampi beratus kali? Di sebalik hukuman-hukuman pihak sekolah, kenapa agaknya pendekatan yang diambil lebih kepada menghukum pesalah sedangkan fungsi sekolah ialah memanusiakan manusia?

Esok cuti sekolah bermula. Sebaik sahaja loceng berbunyi, Aliuddin meluru ke asrama, mengejar tombol pintu biliknya. Cepat-cepat dia menukar baju lalu berlari ke tempat perhentian bas. Tidak sabar rasanya ingin pulang ke kampung. Di dalam perut bas, dia mencapai buku komiknya, sekadar membaca melepaskan kebosanan yang mula menghantui. Ada sesuatu yang jatuh dari celah-celah muka surat komik itu. Sepucuk surat.

I – Isyak
S – Subuh
L – Luhur (Zuhur)
A – Asar
M – Maghrib


Kalau kita tinggalkan salah satu daripadanya, kita sudah bukan Islam lagi. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah s.w.t. berkata keada Nabi Muhammad s.a.w., “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.”

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Izzat, sahabatmu.

Bas meluncur laju membelah malam. Dia melabuhkan pandangannya ke luar tingkap. Pokok-pokok ketapang di pesisir lebuh raya berbalam. Melambai-lambai gemalai ditiup angin. Sinar bulan malu-malu menjenguk alam. Debar jantung tiba-tiba menderas. Dia menatap semula surat itu. Dibacanya berulang-ulang kali. Bicara ayat-ayat mengelus jiwanya yang layu.

“Kau ni ada masalah apa? Kalaulah pokok tu ada tangan, terkulai layu kau dibuatnya.”

“Budak-budak tu la…” mulutnya memuncung ke satu arah.

“Budak-budak mana?” Izzat mencari-cari kelibat orang.

“Aku jalan-jalan tadi, terdetik dalam hati nak sembahyang kat masjid. Elok je aku nak langkah masuk pagar masjid, Si Shukri tu perli-perli aku. Dia kata dia nak tengok selama mana muka ahli neraka macam aku ni boleh jadi baik. Sampai aku habis solat pun dia tak henti-henti lagi mengumpat aku. Geram betul la!” Satu tumbukan padu dilepaskan. Daun-daun kering mula berguguran. Menari-nari lalu jatuh menapak lantai bumi.

“Muka aku ni ada cop neraka ke? Aku jadi jahat pun salah, jadi baik pun salah.”

“Meh sini aku check.” Izzat membelek-belek muka Aliuddin. “Ish…” Aliuddin menepis tangan Izzat, merenung tajam kawannya itu. “Dia saja main-main kot.”

“Kalau main-main, orang takkan sambung dengan mengumpat.”

“Biarlah… Bila dia mengumpat kau, kau dapat pahala. Kau sepatutnya gembira dapat pahala free.”

“Pahala free? Kenapa pula?”

“Bila kita mengumpat orang, orang yang diumpat dapat pahala, kita dapat dosa.”

“Owh… ye ke?” Izzat mengangguk. “Aku dapat pahala?” Aliuddin senyum tersipu-sipu sambil tangannya memeluk batang pokok. Izzat hanya menepuk dahi melihat telatahnya.

Berhimpit jerami di balik meranti,
Saying cemara akar terendam,
Kasih bersemi ikhlas di hati,
Menyejuk bara menghilir dendam.
~Sufaezah ~
perkongsian dari:www.iluvislam.com

25 August 2010

Ukhuwwah Fillah....

Wish for Hana comel...

* Thanks for everything...
* Jangan lupa aku ye... Forget me not...
* Semoga berjaya dalam exam nanti...
* Semoga bahagia di dunia dan akhirat... Insya Allah...
*Love you forever...

Sahabatmu,
Mardhiyyah

Hana tersenyum. Kad comel yang diterimanya 15 tahun lalu dipegang. Dia mencium kad itu. Tanpa disedari, air matanya menitis. Kenangan di alam persekolahan menerjah mindanya. Kenangan itu membawa seribu satu pahit manis alam persahabatan. Di waktu itu jugalah, dia banyak belajar tentang erti kehidupan. Dia masih ingat saat bersama dengan sahabat baiknya, Mardhiyyah. Sahabat sejati yang dicari-cari selama ini.

Walaupun rumah mereka berjauhan, mereka masih saling berhubung. Gembira bersama, sedih bersama, segalanya bersama. Hana bersyukur setelah ditawarkan bekerja di satu daerah yang sama dengan sahabat baiknya itu. Mardhiyyah banyak membantunya. Daripada masalah di sekolah, bahkan di tempat kerja sehinggalah ke masalah peribadi. Hinggakan calon suami pun Mardhiyyah sanggup tolong carikan.

Dia masih ingat kata-kata Mardhiyyah, mahu menjadi seperti Khaulah binti Hakim. Wanita solehah di zaman Rasulullah S.A.W. yang menjadi orang perantara untuk melamar Saudah Zam'ah untuk baginda Rasulullah. Beliau seorang pencari jodoh yang mulia dan dihormati. Mardhiyyah mahu mencontohinya. Dia mahu Hana mendapat suami soleh, bertanggungjawab, warak dan mampu membimbingnya ke jalan yang benar.

" Kau yang rajin sangat carikan suami untuk aku, kau tu bila lagi, Mardhiyyah? "

Hana teringat selorohnya kepada Mardhiyyah.

" Ala... Bukan selalu. Aku nak sangat tengok kau kahwin. Tengok anak-anak kau. Takut tak sempat pula nanti, " sambung Mardhiyyah.

" Ish... Kau ni. Mengarut je la. Nanti aku kahwin, kau jadi pengapitnya. Aku bersalin, kau jadi bidannya. Boleh janji? "

" Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: ‘Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi', kecuali (dengan menyebut): ‘Insya Allah'. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini. "

Pantas Mardhiyyah menyambung dengan membacakan tafsiran ayat 23 dan 24 dari surah Al-Kahfi. Begitu mendalam sekali maksud tafsiran itu.

Walaupun dilahirkan sebagai anak yatim piatu, Mardhiyyah bersyukur kerana telah dijaga dan diasuh oleh arwah neneknya, yang merupakan seorang guru agama. Dia telah terdidik dengan segala cabang ilmu agama sejak kecil. Bahkan, seawal usia 15 tahun dia sudah pun boleh menghafal 30 juzuk Al-Quran.

" Jadi, apa maksudnya, Ustazah Mardhiyyah?" Hana menyambung selorohnya.

Disebabkan kepetahan Mardhiyyah membicarakan hal-hal agama juga telah menyebabkan dia digelar ‘ustazah' di kalangan rakan-rakannya di sekolah.

" Insya Allah... Kalau umur aku panjang, bolehlah aku jadi pengapit dan ‘mak bidan' kau. Sebab itu aku tak mahu janji. Faham tak, anak muridku sayang? "

Lantas, Mardhiyyah mencuit hidung mancung milik Hana. Mereka berdua tertawa. Tidak menghiraukan suasana sekeliling. Hana teringat detik itu. Waktu itu. Kalaulah masa boleh diputar kembali, dia ingin saat itu terhenti. Kalaulah.

Tidak lama selepas itu, Hana telah dipertemukan dengan seorang pemuda yang kini menjadi ‘raja' dihatinya iaitu suaminya. Pertemuan yang tidak dijangka itu telah membibitkan rasa cinta antara mereka yang sudah semestinya bertunjangkan cinta kepada Rabbul Jalil. Semua itu aturan Ilahi yang telah diilhamkan kepada hambanya-Nya yang solehah. Hana sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu merupakan sepupu kepada Mardhiyyah. Begitu hebat sekali percaturan Yang Maha Kuasa.

Petang Rabu itu, Mardhiyyah mengajak Hana untuk sama-sama solat berjemaah di Masjid At-Taqwa. Kebetulan hari itu akan diadakan kuliah Maghrib di masjid tersebut. Memang menjadi rutin mereka untuk menghadiri mana-mana majlis ilmu yang dianjurkan.

" Majlis ilmu merupakan salah satu daripada taman-taman syurga Allah. Berpuluh ribu malaikat akan turut bersama kita dalam majlis seperti ini. Jadi, ambillah kesempatan ini untuk memohon tiga perkara daripada Allah. " Mardhiyyah mengingatkan.

" Perkara apa, Mardhiyyah? " soal Hana.

" Pertama, mohonlah syurga daripada Allah. Kedua, mohon supaya diri kita dijauhkan daripada api neraka dan ketiga, mohon diampunkan segala dosa-dosa kita. Insya Allah, Allah akan makbulkan permintaan hamba-Nya yang ikhlas. "

Hana tersenyum mendengar penjelasan itu. Berbunga hatinya lantaran takjub dengan kebesaran Illahi.

Usai solat Isya' berjemaah, mereka mengambil kesempatan untuk mengemas masjid itu. Al-Quran disusun dengan rapi. Telekung disangkut di tempatnya. Sejadah dilipat kemas. Sewaktu meletakkan sejadah di atas rak, Hana terpandang sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim. Dia begitu tertarik lantas dicapainya kitab itu. Tertib sekali dia membuka kitab itu agar tidak terkoyak mahupun rosak.

Satu persatu halaman kitab itu dibeleknya. Matanya terpaku tatkala membaca satu hadis Riwayat Bukhari yang bermaksud;

" Wahai pemuda! Sesiapa yang mampu akan maskahwin maka berkahwinlah kerana ia lebih merendahkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia menjadi perisai baginya. "

Hana tersenyum sendiri lantaran teringat kata-kata Mardhiyyah yang ingin mencari suami untuknya. Dia tidak menyedari, perbuatannya itu diperhatikan oleh seorang pemuda.

" Assalamualaikum. " Pemuda itu menyapanya. Hana terkejut.

Hampir-hampir sahaja kitab itu terlepas dari pegangannya. Dia beristighfar sambil mengurut-urut dadanya.

" Waalaikumsalam. " Cepat-cepat Hana menjawab. Dia tahu hukum menjawab salam adalah wajib.

" Maafkan saya. Saya tak berniat nak membuatkan saudari terperanjat tadi. "

Lembut dan tenang tutur kata pemuda itu sewaktu memohon maaf atas tindakannya itu.

" Oh... Tak ada apa. Saya yang leka sikit tadi. " Hana sempat mengerling ke arah pemuda itu lalu ditundukkan kembali pandangan matanya.

Subhanallah! Dia terpegun melihat ketampanan wajah pemuda itu. Riak wajahnya begitu tenang, bisa menggugat keteguhan iman seorang yang bernama wanita. Hana tidak berani mendongak ke arah wajah itu kerana tidak mahu terjerat dengan perangkap Iblis Laknatullah.

Dia teringat salah satu hadis Rasulullah yang menjadi pegangannya yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud:

" Rasa malu dan iman adalah sejoli. Bila yang satu lenyap, yang lainnya lenyap juga. "

" Saya Aiman Ashraff. Saudari? " tanyanya.

" Hana Insyirah. " Dia masih tunduk.

Pertemuan itu rupanya diatur oleh Mardhiyyah yang sedang asyik memerhatikan sahabatnya itu. Aiman merupakan seorang pensyarah agama di salah sebuah universiti dalam negara. Pertemuan itu juga merupakan titik permulaan ke alam perkahwinan bagi Hana yang disaksikan oleh berpuluh ribu malaikat di rumah Allah itu. Perkahwinan yang bakal menjanjikan kebahagiaan berumahtangga yang dilimpahi mawaddah wa rahmah dari Ilahi.

Dua minggu sebelum pernikahan Hana dan Aiman, Hana menerima 'SMS' daripada Mardhiyyah.

Doa dari seorang sahabat:

Ya Allah, jika sahabatku jatuh CINTA, berikanlah cintanya pada seseorang yang melebihkan cinta pada-Mu agar bertambah kekuatannya untuk menyintai-Mu. Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh HATI, izinkanlah hatinya menyentuh hati orang yang hatinya tertaut pada-Mu agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah. Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku RINDU, rindukanlah dia kepada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu, jagalah rindunya pada-Mu agar dia tidak lalai dari merindui syurga-Mu... Amiin...

Hana terkedu. Sebak mencengkam dadanya. Terasa sesak nafasnya tatkala membaca 'SMS' itu. Hana berdoa dalam hatinya.

" Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana telah menemukan aku dengan sahabatku, Mardhiyyah. Segalanya atas izin-Mu jua. Kau limpahkanlah rahmat ke atasnya. Kekalkanlah persahabatan ini hingga ke akhir hayat kami. Amiin. "



Dengan sekali lafaz, Hana selamat diijab kabulkan dengan Aiman. Air matanya bergenang.

" Sekarang kau dah jadi isteri orang. Tak lama lagi, jadi ibu orang pula. Ingat, tanggungjawab kau makin besar. Jangan sesekali abaikan tanggungjawab kau tu. Syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya tau, " bisik Mardhiyyah. Hana mengangguk.

" Syukran, Mardhiyyah. " Hana mencium pipi sahabatnya itu. Terasa bagaikan ada aura yang mengalir. Mereka tersenyum.

Tidak lama kemudian, Mardhiyyah pula mengikut jejak langkah Hana. Jodohnya dengan seorang peguam syariah, Luqman Hakim namanya. Namun, segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Suaminya telah kembali ke rahmatullah sewaktu dia mengandung anak kedua. Suaminya pergi semasa sedang tidur. Mardhiyyah tidak menangis, apatah lagi meratap. Dia begitu tenang sekali menghadapi saat-saat itu. Dia redha. Jodoh, ajal, maut semuanya dalam genggaman Rabbul Alamin.

" Sabarlah, Mardhiyyah. Allah lebih sayangkan suamimu. Panjatkanlah doa agar rohnya tenang di sisi para solihin, " Hana menenangkannya.

Dia tahu betapa luluhnya hati Mardhiyyah tika itu. Mereka berpelukan. Tiada kata yang mampu diucapkannya.

Usia kandungan Mardhiyyah sudah mencecah lapan bulan. Semenjak kematian suaminya, dia banyak bersendirian, beribadah kepada Allah disamping menjaga anak sulungnya yang berusia 5 tahun.

" Hana, aku nak minta tolong sesuatu dari kau, boleh? " ujar Mardhiyyah pada satu petang. Petang yang begitu hening.

" Insya Allah... aku akan cuba penuhi permintaan kau tu. "

Mardhiyyah menarik nafas panjang.

" Kalau aku dah tak ada nanti, boleh tak kau jaga anak aku, Amirul dan ‘baby' yang bakal lahir ni? " Mardhiyyah mengusap-usap perutnya dengan penuh kasih sayang.

" Ish... Kau ni. Kenapa cakap macam tu pulak? Kan kita dah janji akan jaga anak kau sama-sama. " Hana gusar.

Mardhiyyah memegang perutnya.

" Nanti ‘baby' jangan nakal-nakal tau. Jadi anak solehah. Jangan degil. Jangan gaduh dengan Abang Amirul. Ummi sayang anak-anak ummi. "

Hana sebak. Dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

" Hana, nanti kau namakan ‘baby' ni... Khaulah... Ummu Khaulah. "

Mardhiyyah tersenyum. Mungkin senyuman terakhir. Senyuman yang bisa merungkaikan segala kesulitan di hati seorang sahabat.

" Ya, Mardhiyyah. Aku akan buat apa saja untuk kau, " Hana menahan tangisnya.

" Insya Allah? " ujar Mardhiyyah.

" Insya Allah, Mardhiyyah. "

***

" Mama! "

Lamunan Hana terhenti. Ummu Khaulah berlari-lari ke arahnya.

" Ya, sayang. Belajar apa di tadika hari ni? " tanya Hana sambil merangkul tubuh si kecil itu.

" Hari ni Khaulah belajar melukis, ma. Cikgu tu cakap, lukisan Khaulah cantik. Besar nanti boleh jadi pelukis. Mama, boleh jual tak lukisan ni? Boleh tambah duit poket. "

Hana tersenyum mendengar kepetahan Khaulah.

" Ada orang nak beli ke lukisan ni nanti? Lagi satu, besar nanti nak jadi pelukis ke? " gurau Hana.

" Tak lah, mama. Khaulah nak jadi doktor Islam. Lukisan tu mama lah yang beli. " sambung Khaulah sambil ketawa.

Hana mengucup dahi Khaulah. Dia berasa begitu bahagia.

Mardhiyyah,
Dah enam tahun kau tinggalkan kami. Kau pergi di saat melahirkan Khaulah. Kau pernah beritahu aku. Mati semasa melahirkan anak merupakan salah satu tanda mati Husnul Khatimah. Amirul dan Khaulah aku jaga macam anak-anak aku sendiri. Masing-masing dah bersekolah. Khaulah mewarisi kepetahanmu dan Amirul mewarisi kesabaranmu. Amirul banyak bersabar dengan kerenah keanak-anakan adiknya itu. Kedua-duanya bijak seperti kau dulu. Janjiku pada kau akan aku laksanakan sebaiknya. Insya Allah... Aku terlalu merinduimu, Mardhiyyah. Rindu saat-saat dulu. Terima kasih atas segalanya. Kaulah sahabatku, selama-lamanya. Doaku agar rohmu ditempatkan di kalangan para syuhada'. Amiin.


Hana menyimpan semula kad itu. Air matanya mengalir lagi.


from: http://www.blogger.com/www.iluvislam.com

01 August 2010

Sebuah Epilog...

“Ya Allah, penatnya rasa badan ni. Dari pagi tadi lagi tak sempat nak rehat,”kata ku sambil mata redup menatap barang-barang yang aku beli petang tadi yang masih belum disimpan. Kuliah hari ni agak penuh iaitu dari pukul 8.30 pagi sampai pukul 4 petang. Itu pun sebab kuliah pukul 4 dibatalkan. Kalau tak,pukul 6 baru habis kelas.

“Baru balik Hana?”Tanya Ani,teman sebilikku yang juga teman sekuliahku yang baru lepas mandi.“Haah, tadi Hana ada perjumpaan kat surau, bincang tentang aktiviti surau semester ni dan program Jom ke Surau yang akan dibuat dalam minggu ni,”balasku sambil menanggalkan tudung yang melindungi perhiasan diriku yang hanya boleh dilihat oleh muhrimku sahaja. Betapa indahnya syariat yang telah Dia tetapkan buat muslimah demi menjaga kehormatan kaum hawa yang lemah. Namun, sedihnya hati kerana masih ramai yang tidak sedar betapa berharganya diri mereka serta tidak memahami akan kewajipan menutup aurat itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 malam tapi aku masih belum membersihkan diri. Walaupun penat masih belum hilang, ku gagahkan diri untuk mengemas barang-barang yang masih belum tersusun di tempatnya.

“Alhamdulillah, dah siap pun.”ujarku sambil mata memandang katilku yang telah kemas tersusun yang tadinya penuh dengan barang-barang yang baru ku beli dari pasaraya Mydin. Tanpa berlengah,ku terus mencapai tuala yang disangkut di loker dan alatan mandi sebelum pergi membersihkan diri.

“ Eh, Mar belum balik lagi ke?”tanya ku kepada Ani sebaik sahaja aku masuk ke bilik selepas siap membersihkan diri. Ani hanya menggelengkan kepala tanpa mengalihkan pandangannya daripada novel yang baru dibacanya itu. Khusyuk benar membaca novel penulis kegemarannya, Hlovate. Aku baru perasan yang roommate ku seorang lagi masih belum pulang. Tengah hari tadi dia ada bagitahu nak balik ke rumahnya tapi akan balik malam nanti sebab kami ada kuliah awal pagi esok. Irdina Ilyani dan Marina Qaleesya adalah teman sebilikku semester ni dan mereka juga adalah teman sekuliah ku.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara orang memberi salam sambil tangannya menguakkan pintu yang sememangnya tidak berkunci itu. “Wa’alaikumussalam. Panjang pun umur. Hana baru je tanya Ani tadi pasal Mar. “ujarku pada temanku yang kecil molek itu. Tubuhnya yang agak kecil dan cute tu selalu menjadi usikan kawan-kawan termasuk aku. Kalau orang yang tidak mengenalinya mungkin menyangka dia masih bersekolah rendah. Bahkan pensyarah kami pun, ada yang menggelarnya dengan panggilan ‘The Little Girl’. Tapi kecil-kecil pun cili api. Mar merupakan salah seorang komander Kesatria Kembara di tempat ku menuntut ilmu ini. Bukan calang-calang orang jugakla.

“Penatnya. Rehatlah kejap kat surau. Boleh solat zuhur terus nanti.”monolog hatiku. Dah lama tak berjalan jauh sejak cuti semester baru-baru ni. Badan pun cepat rasa letih. Semester baru bakal bermula tidak lama lagi. Cepat betul masa berlalu. Cuti semester yang hampir dua bulan bakal berakhir minggu ini. Alhamdulillah, cuti tersebut tidak berlalu dengan sia-sia walaupun aku tidak bekerja sambilan sepanjang tempoh masa tersebut. Aku berkesempatan untuk ‘menadah’ kitab dengan seorang ustaz di kampung ku di masjid yang terletak berhadapan rumah kesayanganku itu. Penawar bagi hati. Tajuk kitab yang dihimpunkan oleh Syeikh Abdul Kodir bin Abdul Mutallib Al- Indunisi. Selain itu, aku juga turut menghadiri kelas fardhu ‘ain yang dibuat oleh abah ku di masjid tersebut pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Sebagai anak sulung dalam keluarga, banyak tanggungjawab yang aku pikul lebih-lebih lagi aku bukan tergolong dalam kalangan orang yang hidup mewah. Keluargaku hanyalah kalangan orang sederhana. Namun aku tetap berbangga dengan keluargaku terutamanya abah dan umi yang tak penah jemu memberi didikan dan nasihat kepada kami adik-beradik.

‘’Kakna kena belajar bersungguh-sungguh,beri contoh yang baik untuk adik-adik. Jangan cepat putus asa. Umi dan abah nak tengok anak-anak kami berjaya dan menjadi insan yang berguna untuk masyarakat dan agama. Ni kali pertama Kakna tinggal jauh dari kami. Jaga diri baik-baik dan jangan pernah tinggal solat dan Al-Quran. Walau sesibuk mana pun, bacalah sekurang-kurangnya satu ayat.”pesan umi semasa menghantarku menyambung pelajaran di peringkat matrikulasi dulu. Aku masih ingat akan pesanan itu dan pesanan yang sama juga umi berikan selepas aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading selepas setahun berjuang di matrikulasi. Dan aku merupakan ahli keluargaku yang pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke university. Kalau dulu, umi tidak dapat menyambung pelajarannya ke peringkat university kerana faktor kewangan. Oleh sebab itu, umi dan abah berusaha sedaya upaya untuk melihat anak- anaknya meneruskan cita-cita mereka.

Kalau kawan-kawan yang lain sibuk merancang untuk membeli-belah apabila duit pinjaman atau biasiswa telah masuk,tidak bagi aku. Banyak perkara yang bermain dalam fikiranku. Alhamdulillah, berbekalkan resultku semasa matrikulasi dahulu, aku berjaya memperoleh biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) sepanjang tempoh pengajianku di universiti. Sekurang-kurangnya, aku dapat mengurangkan beban keluargaku di kampung kerana kos sara hidup di sini jauh berbeza dengan di kampung. Belajar di bandar yang pesat membangun ini sudah semestinya memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Namun begitu, aku sedaya upaya berusaha untuk berjimat.

“Assalamualaikum. Umi dan abah sihat?” pertanyaan wajib bagiku setiap kali menelefon umi dan abah di rumah.
”Alhamdulillah, semua sihat. Kakna sihat? Dah start kuliah ke?”soal umi ku.
“Sihat, alhamdulillah. Dah tapi tak semua lagi. Adik-adik macam mana? Rindunya kat semua.”
“ Semua sihat. Takpelah kalau macam tu. Yang penting Al-Quran dan solat jangan tinggal ye.”pesan umi ku.

Pesanan yang tak pernah lekang daripada seorang ibu. Paling kurang tiga kali dalam seminggu aku akan menghubungi keluargaku untuk bertanya khabar mereka.
Seusai solat zuhur berjemaah di surau kolej Mawar bersama adik-adik junior yang masih dalam program minggu orientasi,aku mengemas barang-barangku kerana ingin menziarahi sahabat-sahabatku yang dirindui yang sudah lama tidak berjumpa. Betapa indahnya ukhuwah yang terjalin kerana ALLAH. Sepanjang cuti semester lepas, telefonku selalu menerima mesej-mesej dari sahabat-sahabat yang sarat dengan perasaan rindu dan sayang serta doa kpdNYA.

‘ Salam Hana. Sht? Rindunye kt Na. walaupun baru je mggu lps jmpa,tp dh rs rindu sgt2. huhu..smga dlm rahmat n ksh syg-NYA..amin. ‘_Tiey

‘ biar dri brjauhan asl hati diikt nur kecntaan,pdmu teman ku ukir kalam kenangn, scbis ingtn m’btkn kt mrsai indhnya p’shbtn. Ska dka, twa hiba, gmbra kcwa adlh asam grm p’juangn..dr kejauhan ku phn mga drimudbrkati tuhan. Brsama kt lyari bhtera p’juangn dgn brsndrkn ksh syg dr Tuhan. Br dri d hina, br jwa trluka asl dpt mnabur bkti untk agama..slm sayang,slm rindu..special bt yg setia d kanvas ingtn ini..’_kak Ani

‘ Ya Rabbi, ak titipkn syg dan rindu utk akhwtku..jdknlah ia bddari yg sllu mnghmbuskn nfs 2 iman IslamMU..jdknlh ia wnita solehah yg sllu mndpt ksh sygMU. Jdknlah ia muslimah yg sntiasa mnjga izzah addinMU..ya ALLAH, cintailh,ampunilh, brkatilh dn masukknlh ia ked lm jannahMU..amin. ‘_kak Una.

Mesej-mesej tersebut membuatkan diri ini tidak merasa kekosongan. Kerana aku sedar bahawa, betapa ramai sahabat yang sentiasa bersama dan selalu menyokongku tatkala susah dan berkongsi kegembiraan.
***********************************************************

:: Halwa Telinga ::